CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 18 Mac 2009

Kenali Tokoh Muslimah


NUSAIBAH;UMMU UMARAH



Nusaibah,wanita yang ikut berbai'ah dalam bait Aqabah,menyerahkan dirinya,putera-puteranya dan harta bendanya untuk Allah Yang Maha Esa.Dia bukan hanya menyediakan makanan atau sekadar membalut luka semasa peperangan sahaja,tetapi turut berangkat berperang di hadapan Rasulullah s.a.w.Dengan semangat yang teguh,dia turut serta bersama suaminya,Ghazijah dan puteranya,Abdullah.


Semasa berperang,Rasulullah s.a.w melihat Nusaibah melindungi diri daripada pukulan-pukulan pedang tanpa sebarang perisai.Lalu Baginda s.a.w menyuruh seorang lelaki untuk memberikan perisainya kepada Nusaibah.Nusaibah lantas mengambilnya dan berperisai di hadapan Rasulullah s.a.w.


Tiba-tiba,seorang penunggang kuda Quraisy menyerang.Nusaibah terlindung dari perisai itu,sehingga serangan orang itu tidak mengena.Kemudian,Nusaibah memukul belakang kuda orang Quraisy itu sehingga orang itu terjatuh.Lalu Nabi s.a.w berteriak kepada Abdullah: "Hai putera Ummu Umarah,itu ibumu! itu ibumu!" Lalu Abdullah menolong ibunya dan membunuh lelaki itu.Abdullah terluka dan ibunya datang membalutnya,sedang Nabi s.a.w melihatnya.Selesai membalut,Nusaibah berkata: "Anakku,bangkitlah bersama aku,memerangi kaum itu." Hal itu menjadikan Nabi s.a.w bersabda: "Ummu Umarah!Siapakah yang sanggup terhadap apa yang kamu sanggup?" Berkata Nusaibah,"Engakau benar ya Rasulullah."


Ketika Rasulullah s.a.w melihat seorang lelaki memukul dan melukai Abdullah,Baginda menunjukkan kepada Ummu Umarah dan bersabda: "Inilah orang yang memukul anakmu." Maka Ummu Umarah menoleh dan memukul betis orang itu sehingga jatuh ke tanah.Rasulullah s.a.w tersenyum lalu bersabda: "Kau memukul membalas Ummu Umarah".


Kemudian,Ummu Umarah mendatangi seorang lelaki yang penuh dengan luka-luka.Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menenangkan kamu,dan telah menyejukkan hati kamu terhadap musuhmu dan aku menyaksikan dengan menuntut balas."

Abdullah sentiasa tetap di tempatnya di depan Rasulullah s.a.w.Dia tetap menjaga Rasulullah s.a.w agar Baginda tidak disakiti.Nabi s.a.w melihat seorang lelaki datang lalu baginda berteriak: "Hai putera Ummu Umarah!" Abdullah menjawab: "Ya Rasulullah!" Baginda s.a.w bersabda lagi: "Lemparkanlah." Maka Abdullah melempar lelaki yang datang itu dengan batu dan mengenai mata kudanya,sehingga kuda dan pemiliknya jatuh.Abdullah menindihnya dengan batu sehingga dapat membunuhnya.


Peperangan berlaku dengan sangat hebat.Serangan dari orang musyrikin datang bertubi-tubi.Ketika serangan terakhir,di mana mereka bermaksud memusnahkan pangkalan kaum Muslimin,dengan rencana membunuh Rasulullah s.a.w,datanglah penunggang kuda musyrikin Quraisy,Ibnu Qamak dan berkata: "Tunjukkanlah Muhammad kepadaku." Lalu Ummu Umarah dan Mushab bin Umair menemuinya.Maka Mushab dibunuhnya.Akan tetapi,Ummu Umarah tidak lemah,sebaliknya terus berlawan.


Ketika perang berlaku,Ummu Umarah menuju ke bahagian musuh-musuh Allah ke kanan dan ke kiri sehingga mendapat luka di badannya dan berlumuran darah.Lalu Rasulullah s.a.w memanggil Abdullah puteranya: "Balutlah luka ibumu! Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.Kedudukan ibumu adalah lebih baik dari kedudukan Fulan bin Fulan.Semoga Allah meredhai kamu sekalian sekeluarga!"


Nusaibah mendengar Nabi s.a.w mendoakan keluarganya melalui mulut Baginda yang mulia.Nusaibah berkata; "Aku tidak peduli apa sahaja yang menimpa di dunia ini." Setelah itu,Nusaibah pergi,seolah-olah ada hembusan bau harum yang menyentuh jiwanya.Dengan doa Rasulullah s.a.w itu,kelompok kaum musyrikin semakin sedikit,serangan-serangannya semakin ringan.Lalu kaum musyrikin dapat dikalahkan dan disempurnakan kebenaran Allah s.w.t.Maka selamatlah Rasulullah s.a.w dari orang-orang musyrikin,dan kaum Muslimin kembali ke Madinah.


Akan tetapi,sekembalinya dari peperangan,Nusaibah sakit dan berbaring di tempat tidurnya.Beliau dirawat oleh para wanita.Pada waktu itu,Nabi s.a.w menyeru untuk berperang melawan kaum musyrikin ke Hamraul Asad.Nusaibah berhajat mengikutinya,tetapi dilarang oleh Rasulullah s.a.w mengingatkan luka-luka Nusaibah yang masih belum sembuh.


Ketika Rasulullah s.a.w kembali dari berperang,sebelum sampai ke rumahnya,datanglah utusan yang memberi khabar bahawa Nusaibah telah sihat.Dengan berita itu,Baginda s.a.w merasa gembira sekali.


Ketika turun ayat hijab,Nusaibah kebingungan.Apakah setelah hari itu beliau boleh keluar untuk berperang dan apakah gantinya dari berperang?Beliau mendidik dan membesarkan putera-puteranya,Abdullah dan Habib agar manjadi pemuda yang gemar berperang dan mati syahid.Beliau mendorong kedua anaknya untuk berjuang membela agama Allah,meninggikan bendera-Nya, dan menegakkan kalimah-kalimah-Nya,berjuang dan berjihad kerana Allah serta hadapi segala sesuatu dengan dada yang lapang dan penuh semangat.


Rasulullah s.a.w mengizinkan orang-orang Islam untuk pergi menunaikan haji,lalu Nusaibah keluar bersama Baginda s.a.w.Tetapi orang-orang Quraisy menghalang dan melarang kaum Muslimin untuk masuk ke Kota Makkah dan beribadah haji.Akhirnya,dua pucuk pimpinan bertukar pendapat dan menandatangani Perjanjian Hudaibiyah,dan Rasulullah berbai'ah kaum Muslimin dengan Bai'atur Ridhwan.Nusaibah pun turut menyaksikannya.


Setelah Rasulullah s.a.w wafat,sebahagian kaum Muslimim kembali murtad dan tidak membayar zakat.Lalu Khalifah Abu Bakar r.a menyiapkan bala tentera untuk berperang dan mengirim surat kepada Musailamah,menerusi Habib putera Nusaibah.Musailamah menerima lalu bertanya: "Apakah kamu bersaksi bahawa saya utusan Allah?" Habib menjawab: "Saya tidak mendengar dengan berpura-pura mengaku tuli." Lalu Musailamah memotong anggota badan Habib satu demi satu dan menyiksanya sehingga menemui ajal.Berita itu sampai kepada Ummu Umarah,maka beliau sangat sedih di atas kematian anaknya.Beliau bersumpah untuk ikut menghadiri dan memerangi orang-orang Musailamah.


Bala tentera kaum Muslimin keluar dari Madinah menuju tanah Yamamah untuk memerangi orang murtad.Maka keluarlah Nusaibah bersama puteranya Abdullah sedangkan pada waktu itu Nusaibah telah berumur 60 tahun,tetapi beliau tidak lemah oleh ketuaannya.Beliau bersumpah untuk membalas tindakan yang dilakukan oleh Musailamah.


Ketika terjadi peperangan antara kaum Muslimin dan orang-orang murtad,pada mulanya kaum Muslimin berundur ke belakang.Tetapi panglima mereka Khalid bin al-Walid berteriak: "Wahai Muhammad ingatlah!" Teriakan itu menyentuh hati kaum Muslimin,maka timbullah semangat mereka.Ummu Umarah tidak dapat menahan diri,lalu menghunus pedangnya menyerang musuh.Namun,Nusaibah mengalami luka yang teruk dan tangannya terputus.Beliau tetap terus berlawan memerangi pasukan berkuda dan menuju ke hadapan sehingga bertemu Musailamah,lalu membunuhnya.Lapang hatinya dan terpadamlah kemarahannya.Beliau kembali ke rumah dengan keadaan tangannya yang sakit.Khalifah mengetahui keaadaannya lalu memberi kata semangat kepadanya.


Akhirnya,Nusaibah kembali ke rahmatullah.Maka berakhirlah kisah hidup seorang pejuang wanita yang cintakan kebenaran dan keadilan.Beliau menghirup pelajaran Nabi s.a.w iaitu iman yang teguh dan jernih.Beliau menyertai beberapa peperangan dan menjadi ibu teladan bagi kemuliaan seorang mukminah.

Wallahu taala a'alam


(Adaptasi dari Kisah-kisah Wanita Teladan,Pustaka Ilmi)

0 ulasan: